Pena Raputra
Sunday, February 15, 2009
  Reminis Kemanisan Iman di Bumi Amerika
Ditulis oleh: Rafique Adi Putra

Pernah aku ikuti perjalanan jemaah yang usahanya sangat merendah diri tapi geraknya di seluruh dunia. Memang satu masa aku sangat "subscribe" kehidupan jemaah itu. Aku kagumi mereka ini kerana pengorbanan yang dilakukan oleh mereka dan kerana perubahan-perubahan positif yang dibawakan oleh usaha dakwah mereka ke dalam diriku dan juga limpahan rahmatnya kepada ahli keluargaku. Kekuatan dalaman yang aku dapati melalui usaha itu, memang tidak aku duga. Bila diri terasa lemah seperti sekarang, tidak terjangkau fikiranku bagaimana aku mendapat kekuatan sebegitu dahulu.

Kemanisan iman. Rasa itu yang kini hanya tinggal sisa-sisa bekas, tetap tidak dapat aku lupakan sehingga saat ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui jiwaku dan Dialah yang Maha Pemberi Hidayah.

Teringat suatu masa, aku sentiasa berkopiah dan berjubah di Amerika, ke kuliah dan ke tempat kerja part time di kampus aku tetap tenang berjalan di tengah lautan manusia di universiti. Pandangan-pandangan sinis dan pelik para pensyarah, teman-teman sekelas dan juga supervisor di tempat kerja tidak kuberi perhatian. Dalam hati hanya ada sakinah. Kerana aku tahu Allah memeliharaku. Di subuh-subuh hari, kesejukan winter Amerika Utara tidak menjadi alasan. Di kala ummat lena di buai mimpi, aku menerobos timbunan salju sekaki tebal, berjalan berseorangan menuju ke rumah Allah, sebuah rumah besar di pekan kampus yang tingkat bawahnya dijadikan tempat solat. Masjid yang hidup segan mati tak mahu, kulaungkan azan di dalamnya, seolah-olah memanggil seluruh warga alam untuk membesarkan Allah, Tuhan yg Esa, Tuhan Yang Maha Pencipta, yang tanpa-Nya, kau dan aku tiada. Kekadang, bernasib baik, datang seorang dua. Tetapi selalunya, aku bersolat sendirian. Tapi, aku tidak putus asa.

Segala puji bagi Allah, teman-teman baruku yang dari pelbagai bangsa mempunyai fikir yang sama. Kamipun memulakan gerak, bersyura, bertaalim, berziarah dan melakukan amal sunnah yang kami tidak faham caranya tapi tegar dengan niat meniru cara para anbiya dan para sahabat. Dari satu apartment ke apartment, dari satu bilik kampus ke bilik kampus yang lain, dari satu kafe ke kafe yang lain, kami ziarahi saudara seagama, meraju pujuk dan mengajak diri membesarkan Allah dan memakmurkan rumah Allah. Kadang-kadang diterima dengan senyuman, pelukan persaudaraan dan ucapan terima kasih yang tak terhingga, kadang-kadang dicemuh cerca. Melihat kelibat kami dari jauh, ada yang mula melarikan diri, menyorok di balik-balik pintu. Tapi, bagi kami itu adalah asam garam dalam perjuangan. Sangka kami tetap mereka lebih mulia, dari diri kami yang alpa.

Aku teringat tentang seorang saudara Islam yang berasal dari Palestin tapi telah lebih 20 tahun menjadi penduduk tetap di Amerika. Beliau mempunyai perniagaan yang baik dan cukup untuk menampung keluarganya di sana. Tetapi, mungkin kerana kejauhan dari orang-orang Islam yang lain, tampak jiwanya kosong. Minuman keras menjadi kebiasaan. Suatu masa kami menziarahinya di hadapan kedai beliau. Aku masih teringat bauan alkohol yang keluar dari nafas mulutnya. Aku tidak ingat apa yang aku katakan padanya, tetapi kata-kata itu menyebabkan beliau terus menangis dan memelukku seolah-olah berkata, "Kenapa baru sekarang kau datang wahai saudaraku?". Pengalaman sebegini menguatkan lagi azam untuk terus melakukan usaha itu.

Walaubagaimanapun, tujuan utama kami tidak lupa, iaitu untuk Tazkiyyatun Nafs dan mendirik diri, menjadikan diri kami ini hamba-hamba Allah yang merendah diri kepadaNya dan ummat junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang cuba meniru sunnahNya, dengan harapan akan dibangkitkan bersama-sama mereka. Kalaupun tidak dapat duduk di kerusi koc VVIP bersama Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallahu anhum, cukuplah kami ini jadi debu-debu hitam kotor yang melekat di badan keretapi itu. Yang penting kami tiba di destinasi yang sama.

Bila tiba cuti semester, kami berpakat untuk pergi mengembara jauh. Selama 40 hari kami bergerak dan beriktikaf dari satu masjid ke masjid yang lain. Kembara membawa kami ke tempat-tempat yang jauh beribu batu. Dari megalopolis-megalopolis gah ciptaan Amerika seperti Chicago, Madison, Detroit, Cleveland, New York dan New Jersey hinggalah ke bandar-bandar yang lebih kecil seperti Ames Iowa dan Wichita di Kansas City. Berjumpa dengan pelbagai ragam manusia, merapatkan ukhuwah silaturrahim antara saudara-saudara Islam dan melihat sendiri betapa pentingnya usaha menghidupkan agama di kalangan ummat manusia yang semakin hari semakin jauh dari Si Pencipta, malah mengabdikan diri kepada material, manusia, pangkat dan harta.

Teringat pula semasa di Saint Louis, Missouri, kami telah menziarahi penempatan pendatang dari Bosnia Herzegovina, yang dibawa ke benua Amerika semasa berlaku kezaliman pembunuhan etnik beramai-rami oleh Serbia. Ibu-ibu dan balu-balu berbangsa Bosnia yang sudah tua-tua itu sangat-sangat mengalu-alukan kedatangan kami kerana kerisauan mereka terhadap generasi kedua dan ketiga mereka yang telah mula terasimilasi ke dalam kehidupan bebas tidak bertuhan gaya Amerika. Renungan mata mereka yang dalam masih aku ingati. Renungan itu penuh pengharapan agar mereka tidak dilupakan oleh saudara-saudara Islam mereka, agar mereka sering diziarahi, agar kami membantu membela generasi-generasi muda mereka yang semakin hanyut.

Tidak kurang hebatnya saudara seagama berbangsa Amerika, yang baru memeluk Islam beberapa tahun. Semangat juang mereka tidak pernah malap, malah membuatkan diriku terasa terlalu kerdil. Mantapnya iman mereka meninggalkan cara hidup jahiliyyah dan terus mempertahankan api keimanan mereka dalam suasana kufur dan penuh kegelapan memang mengingatkan aku kepada sahabah minal awwaliin. Iman mereka tetap bulat - tidak tergugat walaupun dijemur di tengah padang pasir yang panas menusuk.

Dan terkadang bila kulihat ummat yang tidak beriman, berderai air mata kerana syukurnya diri ini pada Ilahi, diberi hidayah dan rahmat tanpa dipinta, hadiah pemberian Robbal Aalamin, Al-Wadud, Al-Rahman buat faqir yang disisiNya tidak lebih pun dari sebutir zarah di alam yang maha luas.

Pengalaman-pengalaman bersolat jemaah di tempat-tempat umum seperti di tepi highway I-92 membuatkan kami dapat merasakan nikmatnya solat dengan beratapkan langit dan bersejadahkan rumput-rumput halus. Damainya berdiri solat menghadap Pencipta, berqiblatkan Kaabah, di tempat terbuka sambil dihembus bayu-bayu Midwest dan The Great Lakes yang dingin.

Terkenang pula satu peristiwa semasa kami berhenti bersolat Isya' di kawasan lapang berhampiran sebuah pub semasa dalam perjalanan untuk ke sebuah bandar kecil di utara Minnesota. Kami didatangi sekumpulan kaki-kaki mabuk berbangsa orang putih yang berjaket kulit hitam tidak berlengan. Tangan-tangan berotot lebar mereka penuh dengan tatoo-tatoo bermacam rupa dan warna. Di luar pub tersusun motor-motor Harley Davidson buatan tempatan. Hampir kesemua mereka berjanggut panjang, berseluar jeans dan memakai ikat rambut. Sekumpulan lima orang gangster berbadan sasa mendekati kami semasa kami sedang siap untuk bersolat dan menyergah kami pada awalnya. Aku agak gementar. Tetapi, hikmah Amir jemaah kami yang sangat lembut percakapannya dan bijak bicaranya telah menambat hati mereka. Setelah menunaikan solat dan sebelum kami beredar, ketua gangster biker tersebut telah berkata,"I love Islam. I like you guys Muslims."

Semasa kami beredar dengan van penuh muatan, kesemua gangster tadi mengangkat sebelah tangan kiri mereka sambil membuat tanda "peace" dua jari kepada jemaah kami. Kami hanya tersenyum dan mendoakan agar Allah membukakan hati-hati mereka untuk menerima kebenaran ad-Deen.

Pengalaman-pengalaman itu sangat manis sekali. Manisnya pengalaman-pengalaman dan saat-saat itu bagiku adalah jauh lebih manis dari madu dan pengalaman di malam pertama perkahwinan. Kini, pengalaman-pengalaman itu hanya tinggal pengalaman. Setelah pulang ke tanahair, diriku yang semakin disibukkan dengan urusan-urusan kerja, semakin hari semakin jauh dari usaha itu. Mungkinkah kerana dosa-dosa, aku kini semakin jauh? Atau mungkinkah kerana nafsu diriku sendiri yang tidak mahu membuka jendela hati untuk meneruskan usaha itu?

Perasaan bersalah terkadang menghantui diri apabila teringat semula wajah saudara Palestin yang memelukku, juga renungan mata ibu-ibu dan balu-balu Bosnia yang mengharapkan kedatanganku menziarahi mereka lagi dan tidak lupa juga pesanan saudara-saudara baru berbangsa Amerika yang berkata, "Do not forget us here brother!".

Hakikatnya, berat mata memandang, berat lagi bahu ini memikul. Aku tahu ini masa ujian untuk aku... Ya Allah, kudambakan petunjuk dan kekuatan dariMu...

Labels: , , ,

 

Archives
July 2006 / December 2006 / February 2009 /


Powered by Blogger

Subscribe to
Posts [Atom]